Showing posts with label Pasaran Cendawan. Show all posts
Showing posts with label Pasaran Cendawan. Show all posts

Friday, December 6, 2013

Persediaan memulakan projek cendawan

 RAMAI daripada kita merupakan penggemar cendawan, sayur yang unik tetapi mempunyai banyak khasiat. Tahukah kita bahawa jumlah cendawan yang dimakan oleh rakyat Malaysia ialah 324 gram seorang setahun atau jumlah yang diperlukan ialah 8,100 tan setahun. Jumlah tersebut jauh lebih tinggi berbanding dengan pengeluaran cendawan negara pada masa ini iaitu sebanyak 5,500 tan.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasarkan untuk meningkatkan pengambilan cendawan rakyat Malaysia dari 324 gram setahun kepada dua kilogram setahun. Ini memerlukan peningkatan pengeluaran cendawan kepada 50,000 tan setahun.

Jawapan kepada masalah tersebut ialah perlunya industri tanaman cendawan diperhebatkan, sekali gus menjana pengeluaran yang mencukupi pada masa akan datang. Seperti juga tanaman lain, industri tanaman cendawan juga mengalami evolusi teknologi dan berdasarkan catatan, pada 1960- an cendawan ditanam pada batang kayu terutama jenis shiitake dan telinga kera.

Sedekad kemudian, kaedah baru digunakan iaitu penggunaan jerami padi sebagai media tanaman sebelum penggunaan hampas kapas pada tahun 1980-an. Itu cerita dalam tempoh tiga dekat tetapi suntikan teknologi kini menjadikan tanaman cendawan diusahakan secara komersial dan berteknologi tinggi.

Kaedah terkini ialah menanam cendawan menggunakan habuk kayu dalam polibeg atau beg media. Setengah pengusaha kini mampu menghasilkan benih sendiri dengan penggunaan kaedah bioteknologi tetapi kosnya lebih tinggi.


.
Persediaan Bagi Memulakan Projek Cendawan

1. Minat dan pengetahuan mengenai teknologi

  • mempunyai minat dalam penanaman cendawan
  • tahu teknologi terkini
  • tahu jenis cendawan yang hendak ditanam
  • tahu keperluan asas jenis cendawan yang hendak ditanam

2. Tapak/ Lokasi Projek

  • pastikan di mana lokasi projek yang sesuai
  • keperluan bangunan
  • maklumkan kepada pejabat Pertanian Daerah terdekat

3. Pembekal Peralatan dan Bahan

  • pastikan peralatan dan bahan yang perlu
  • dapatkan senarai pembekal yang terdekat

4. Sumber Kewangan

  • kewangan penting untuk membangunkan projek
  • modal sendiri atau perlukan pinjaman
  • ambil tahu dan ambil peluang insentif kerajaan

5. Pemasaran

  • kaji keperluan dan permintaan cendawan semasa
  • dapatkan saluran pemasaran yang termudah
  • fikirkan bidang industri asas tani untuk cendawan yang ditanam

Sebagai usahawan dan juga bakal pengusaha cendawan, rancangan perniagaan yang lengkap dan berkesan menjadi satu kewajipan apabila ingin memulakan projek cendawan. Dalam rancangan perniagaan itu, perlu dimasukkan kelima-lima elemen yang disebutkan di atas. 

Kejayaan projek cendawan dan bisnes nanti bergantung kepada bagaimana kita mengendalikan pihak pengurusan dan sumber-sumber yang ada. 

Selamat maju jaya!

Monday, November 25, 2013

Kajian Pasaran Cendawan



Perusahaan cendawan adalah satu perniagaan yang serius dan berpotensi besar, maka salah satu faktor kejayaan ialah dengan melakukan kajian pasaran terlebih dahulu tentang potensinya. Matlamat penilaian pasaran adalah untuk menjangka jumlah jualan dan pendapatan kasar daripadanya serta menganalisa potensi keuntungan dan aliran tunai, juga bagi mengumpul maklumat berkaitan potensi pembeli dan juga pesaing (membantu dalam membangunkan strategi pemasaran kelak).

Banyak cendawan yang berpotensi untuk ditanam, namun pasarannya, walau sedang berkembang, masih terhad dan memerlukan banyak usaha kita sendiri untuk berjaya. Sekiranya anda berfikir dan merancang untuk memulakan perusahaan penanaman cendawan secara komersil, bermula dengan persoalan ini: Kepada siapa anda ingin jual?


Anda tidak akan memperolehi sebarang pendapatan di dalam sebarang bisnes jika anda tidak mempunyai pembeli kepada produk anda. Kaji siapa yang akan membeli cendawan anda, jenis yang bagaimana yang mereka mahu dan di mana mereka akan beli. 

Anda perlu kaji dengan lebih lanjut permintaan ke atas setiap spesis cendawan atau produk daripada cendawan tersebut - juga tempat yang ia akan dipasarkan, sebelum terjun secara besar-besaran beserta modal dan sepenuh tenaga dalam perusahaan ini.

Semak situasi semasa di kawasan anda. Antara kaedah yang boleh digunakan ialah dengan menjalankan pemerhatian ke atas gelagat pembeli, survey ke atas kebanyakan kedai-kedai, temu ramah dengan penanam cendawan, dan juga test market (sekiranya anda sudah ada produk yang sedia diuji kaji). 

Satu lagi cara kajian pasaran ialah dengan menilai pesaing-pesaing anda. Ini akan membantu anda menentukan apakah pasaran yang sedia wujud dan mengenal pasti keperluan baru / niche yang boleh anda penuhi melalui produk anda. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang pesaing anda, gunakan produk mereka. Bercakap dengan mereka. Anda akan terkejut berapa banyak maklumat yang mereka akan kongsi dengan anda.