Friday, December 6, 2013

Persediaan memulakan projek cendawan

 RAMAI daripada kita merupakan penggemar cendawan, sayur yang unik tetapi mempunyai banyak khasiat. Tahukah kita bahawa jumlah cendawan yang dimakan oleh rakyat Malaysia ialah 324 gram seorang setahun atau jumlah yang diperlukan ialah 8,100 tan setahun. Jumlah tersebut jauh lebih tinggi berbanding dengan pengeluaran cendawan negara pada masa ini iaitu sebanyak 5,500 tan.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasarkan untuk meningkatkan pengambilan cendawan rakyat Malaysia dari 324 gram setahun kepada dua kilogram setahun. Ini memerlukan peningkatan pengeluaran cendawan kepada 50,000 tan setahun.

Jawapan kepada masalah tersebut ialah perlunya industri tanaman cendawan diperhebatkan, sekali gus menjana pengeluaran yang mencukupi pada masa akan datang. Seperti juga tanaman lain, industri tanaman cendawan juga mengalami evolusi teknologi dan berdasarkan catatan, pada 1960- an cendawan ditanam pada batang kayu terutama jenis shiitake dan telinga kera.

Sedekad kemudian, kaedah baru digunakan iaitu penggunaan jerami padi sebagai media tanaman sebelum penggunaan hampas kapas pada tahun 1980-an. Itu cerita dalam tempoh tiga dekat tetapi suntikan teknologi kini menjadikan tanaman cendawan diusahakan secara komersial dan berteknologi tinggi.

Kaedah terkini ialah menanam cendawan menggunakan habuk kayu dalam polibeg atau beg media. Setengah pengusaha kini mampu menghasilkan benih sendiri dengan penggunaan kaedah bioteknologi tetapi kosnya lebih tinggi.


.
Persediaan Bagi Memulakan Projek Cendawan

1. Minat dan pengetahuan mengenai teknologi

  • mempunyai minat dalam penanaman cendawan
  • tahu teknologi terkini
  • tahu jenis cendawan yang hendak ditanam
  • tahu keperluan asas jenis cendawan yang hendak ditanam

2. Tapak/ Lokasi Projek

  • pastikan di mana lokasi projek yang sesuai
  • keperluan bangunan
  • maklumkan kepada pejabat Pertanian Daerah terdekat

3. Pembekal Peralatan dan Bahan

  • pastikan peralatan dan bahan yang perlu
  • dapatkan senarai pembekal yang terdekat

4. Sumber Kewangan

  • kewangan penting untuk membangunkan projek
  • modal sendiri atau perlukan pinjaman
  • ambil tahu dan ambil peluang insentif kerajaan

5. Pemasaran

  • kaji keperluan dan permintaan cendawan semasa
  • dapatkan saluran pemasaran yang termudah
  • fikirkan bidang industri asas tani untuk cendawan yang ditanam

Sebagai usahawan dan juga bakal pengusaha cendawan, rancangan perniagaan yang lengkap dan berkesan menjadi satu kewajipan apabila ingin memulakan projek cendawan. Dalam rancangan perniagaan itu, perlu dimasukkan kelima-lima elemen yang disebutkan di atas. 

Kejayaan projek cendawan dan bisnes nanti bergantung kepada bagaimana kita mengendalikan pihak pengurusan dan sumber-sumber yang ada. 

Selamat maju jaya!

No comments:

Post a Comment